Bertolak ansurlah di dalam pergaulan..... Kasih sayang sentiasa berbunga, hidup aman, damai dan harmoni... Salam Ukhwah..Salam 1 Malaysia...

Selasa, September 29, 2009

ISU MORAL : PENYALAHGUNAAN DADAH

DEFINISI KONSEP, HURAIAN ISU DAN CADANGAN MENGATASINYA.


Dewasa ini, saban hari kita dihadapkan dengan segala macam masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan pelbagai lapisan dan peringkat umur dalam masyarakat di negara kita.  Isu ini sememangnya amat mencemaskan dan menjadi semakin rumit untuk ditangani.  Serasa kita sudah muak dengan isu seks rambang, penagihan dadah, pembuangan anak, dan sebagainya memberi 'isyarat' bahawa gejala sedemikian ini bukanlah hal yang ringan dan ia perlu kepada penelitian dan kepekaan bersama kenapa ia berlaku, siapakah pelakunya dan bagaimanakah cara mengatasinya dari terus berlaku.


Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu masalah sosial yang agak meruncing di kalangan masyarakat khususnya umat Islam.  Penyalahgunaan dadah yang berleluasa ini telah menimbulkan satu masalah besar kepada negara.  Setiap tahun bilangan penagih kian bertambah sedangkan yang sedia menagih tidak pula berkurangan atau sembuh.  Pihak kerajaan telah berusaha keras untuk menangani masalah ini yang kini menjadi satu agenda utama negara untuk membasminya.


Berhubungan dengan itu, kita juga telah dikejutkan dengan kesan buruk akibat dari pengambilan dadah ini iaitu satu penyakit kronik yang dikenali sebagai HIV (Human Immunodeficency Virus) dan AIDS (Aquired Immune Deficency Syndrome).  Walaupun kita benci kepada perkara ini, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk memulih dan menyelamatkan mereka yang terlibat dan berharap mereka akan insaf serta berusaha memulihkan diri sendiri.


Sebenarnya, apakah itu dadah?  Mengikut risalah kecil "Islam Memusuhi Dadah" yang diterbitkan oleh Pasukan Petugas Khas Anti dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1993, telah memberi penjelasan iaitu dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkahlaku dan sebagainya.  Dadah apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal, atau mental.  Penggunaannya yang berterusan akan mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama Islam.


Mengikut kajian oleh pakar-pakar perubatan dan juga pakar-pakar yang membuat penyelidikan ke atas penagih-penagih dadah dan juga mereka-mereka yang menyalahgunakan dadah, di antara faktor-faktor yang membawa kepada salahguna dadah adalah seperti berikut :-
  1. Ingin mengetahui dan seterusnya mencuba-cuba oleh dirinya sendiri.
  2. Tidak mengetahui sebenarnya akan bahaya setiap jenis dadah itu.
  3. Dipengaruhi oleh kawan-kawan kerana hendak menyesuaikan diri dengan sesuatu kumpulan yang sebaya dengannya.
  4. Mencari ketenteraman jiwa kerana terlibat dengan sesuatu masalah kehidupan.
  5. Menghilangkan sesuatu kesusahan yang dideritainya.
  6. Untuk menghilangkan kerunsingan akibat desakan ibubapa.
  7. Tidak menggunakan masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah.
  8. Mengikut tekanan darah muda dengan sekehendak hati.
  9. Kerana masalah rumahtangga yang porak peranda.
  10. Tiada kemesraan di antara ibubapa dengan anak-anak.
  11. Ingin berlagak dengan cara hidup yang lebih tinggi daripada yang termampu olehnya.
  12. Kerana ada punca dadah dan kebijaksanaan pengedar dadah untuk menjalankan pengaruhnya.
  13. Kurang pengetahuan agama dan penghayatan nilai-nilai agama.



Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), menunjukkan masyarakat Melayu atau umat Islam paling ramai menjadi penagih berbanding kaum lain.  Penagih dadah yang dikesan adalah seramai 31 orang penagih baru dan 42 orang penagih berulang setiap hari.


Justeru, di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah dan juga semakin menjurus ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahsyat, kita tidak seharusnya lalai dalam memberi asuhan dan bimbinngan sewajarnya kepada generasi muda masa kini agar tidak terjerumus dan bergelumang dengan najis dadah.  Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta mengasuh mereka dengan kefahaman Islam yang sebenar mesti dilakukan kerana ternyata ianya memberikan kesan mendalam kepada golongan ini.


Maka, dalam kita menghadapi cabaran ini, sedarkah kita terhadap bahaya ancaman penagihan dadah yang telah banyak merosak dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagian rumahtangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara. Bahkan banyak jiwa yang terkorban, semuanya berpunca dari angkara dadah.




Di antara kesan pengambilan dadah ialah pertama, dadah menghancurkan rumahtangga. Keluarga yang dinaungi oleh ketua yang menjadi penagih akan menimbulkan berbagai kesulitan dan masalah di antaranya tidak dapat menyediakan nafkah yang diperlukan bahkan terdapat yang memaksa isteri dan anak-anak memberi wang untuk membeli dadah. Sebagai ketua keluarga, Islam menitikberat mengenai kehidupan ahli keluarga agar dipelihara dengan sebaik-baiknya.



Seterusnya, dadah menimbulkan masalah jenayah. Masalah ketiadaan sumber kewangan untuk memenuhi keperluan keluarga dan diri sendiri boleh menyebabkan hilang punca kawalan diri dan cara yang paling mudah untuk mendapat wang adalah melakukan jenayah sama ada mencuri, memeras ugur, merompak atau membunuh.



Kesan ketiga, dadah merosakkan diri sendiri. Penagih-penagih yang sebati dengan dadah ketagih sudah tidak dapat dipulihkan lagi. Mereka ini tidak dapat mengawal diri sendiri, kotor, busuk malah telah menjadikan lorong-lorong tertentu sebagai tempat tinggal dan tiada haluan hidup, dibenci masyarakat serta membebankan negara.


Selain itu, dadah mendatangkan penyakit HIV/AIDS yang merupakan salah satu kesan buruk akibat dari pengambilan dadah yang berterusan. Penagih menggunakan berbagai cara untuk menghilangkan ketagihan. Di antaranya melalui suntikan pada anggota badan. Bagi yang tidak mempunyai cukup wang, mereka sanggup berkongsi jarum dan cara inilah yang menyebabkan menularnya penyakit tersebut dan penyakit ini masih belum dapat dirawat sepenuhnya, hanya bertahan untuk satu waktu yang tidak dapat dipastikan.






Kesan seterusnya ialah dadah membunuh diri sendiri. Membunuh diri merupakan larangan yang paling besar bagi umat Islam walau dalam keadaan apa sekalipun, dan mengambil dadah boleh membawa kepada kematian.

 


Justeru, dalam menjamin kesejahteraan hidup, Islam telah menetapkan panduan-panduan dan larangan-larangan dalam pengambilan bahan makanan atau barang gunaan agar umatnya tidak terjerumus dalam mengambil benda-benda yang ditegah. Ini semua adalah untuk memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara akidahnya.



Kita sering mendengar pepatah arab yang bermaksud, “ Akal yang sihat terletak pada tubuh badan yang sihat”. Ini bermakna hubungan di antara akal (mental/spritual) dan badan (fizikal) amat berkaitrapat dan akan memberi kesan yang mendalam di antara satu sama lain. Oleh kerana itu, Islam menggesa umatnya supaya mengambil makanan yang baik dan halal termasuklah bersih dan berkhasiat. Tegahan mengambil benda/bahan makanan yang kotor, jijik dan keji serta yang ditegah adalah jelas dilarang sama sekali termasuklah mengambil benda-benda yang memabukkan seperti dadah kerana mempunyai kaitan yang rapat dengan mental/spritual dan ia amat mempengaruhi kesempurnaan amal ibadat seseorang. Sebagai umat Islam, kita perlu mengetahui bahawa dadah adalah sejenis ‘bahan’ kotor, najis, jijik dan keji yang boleh merosakkan kesihatan tubuh badan kerana sifatnya yang memabukkan dan mengkhayalkan.






Dalam hal ini juga, para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa menagih dadah hukumnya adalah haram di sisi Islam. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinyasupaya kamu berjaya”.


Dan sabda Rasulullah s.a.w.    كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ   ..... حديث رواه مسلم
Maksudnya : “ Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram ”.


Berdasarkan ayat al-quran dan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa dadah adalah haram hukumnya disebabkan orang yang menyalahgunakan dadah akan menyebabkan dirinya khayal, hilang kewarasan akal pertimbangan dan yang lebih dahsyat lagi akan menyebabkan penagih menjadi agresif dengan sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan bekalan termasuk menculik, merompak, membunuh dan sebagainya.




Dewasa ini terdapat pelbagai jenis dadah seperti pil ecstacy, pil kuda, syabu, daun ketum, ubat batuk dan sebagainya yang terdapat di pasaran gelap. Namun ia tidak sesekali terkecuali dari pengertian khamar dan hukumnya tetap sama.


Pernahkah kita terfikir, apakah akibat dan kesan yang akan menimpa seseorang penagih dadah atau peminum arak?. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:
(مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَآبِدِ وَثَنٍ ( أو قما قال )         (حديث رواه ابن ماجه


Maksudnya : “ Penagih khamar ( penagih dadah ) sama seperti penyembah berhala ”.




Menurut al-Syaukani dalam kitabnya Nailul Autar, hadis tersebut merupakan ancaman keras kerana menyembah berhala adalah merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Jadi menyamakan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala menunjukkan betapa besarnya dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut bagi mereka yang tahu tentang hukumnya.


Demikianlah nasib malang yang menimpa sebahagian anak muda dan remaja kita apabila mereka terjebak dengan gejala dadah. Apakah kita sanggup membiarkan perkara ini berterusan bermaharajalela dalam masyarakat kita?.


Justeru, marilah kita menginsafi diri sejauh mana kita telah menjaga mereka yang di bawah jagaan kita supaya mereka terselamat dari pengaruh penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api neraka dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.




Kita sebagai ibu bapa hendaklah sedar bahawa kita bukan sekadar dipertanggungjawab untuk mendidik anak-anak sewaktu di dunia, malah tanggungjawab ini pasti ditanya di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikan amanah yang sepatutnya atau telah menkhianatinya.


Begitu juga, masyarakat hendaklah berperanan membantu membendung dan membenteras ancaman dadah dalam masyarakat kita dengan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut dibahu pihak berkuasa atau polis semata-mata. Kerana kesedaran masyarakat tentang akibat buruknya kesan penagihan dadah dapat mengawal serta menghalang dari merebaknya gejala dadah. Dan yang terpenting masyarakat juga hendaklah memainkan peranan membantu proses pemulihan dan berupaya membantu bekas-bekas penagih menjalani kehidupan baru bebas dan sihat tanpa dadah.


Sehubungan itu, di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain di antaranya :


Pertama : Pastikan anak-anak mendirikan solat dengan sempurna



Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan solat cukup lima waktu dengan sempurna, kerana solat yang sempurna boleh menjamin seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.






Kedua : Biasakan Anak-anak membaca al-Quran dan menghayati maksudnya.


Ibu bapa hendaklah membiasakan anak-anak membaca al-quran. Ditambah dengan mengerjakan solat sunat, zikrullah dan lain-lain lagi kerana faedahnya amat banyak.

Ketiga : Amalkan Perkara Amar Ma’aruf Nahi Mungkar Dalam Kehidupan.




Kehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar ma’aruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.


Keempat : Mewujudkan Suasana Harmoni Dalam Rumahtangga.


Rumahtangga yang harmoni dapat melahirkan suasana keluarga yang bahagia serta anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Yang paling penting elakkan anak-anak hidup berfoya-foya tanpa tujuan dan faedah kerana ia boleh membuka ruang kepada mereka untuk berjinak-jinak dengan dadah.


Kelima : Tanamkan Didikan Kepada Anak-Anak Supaya Benci Dadah serta Sentiasa Berhubung Dengan Pihak yang Bertanggungjawab.




Penglibatan ibu bapa mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah dipertingkatkan, disamping menjauhi tabiat menghisap rokok dan sebagainya. Keadaan ini dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok.


Sebagai penutup, Islam amat menitikberatkan mengenai kesejahteraan hidup umatnya. Dalam banyak perkara, keutamaan terhadap keimanan seseorang adalah menjadi tunjang utama untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Jelaslah syariat Islam diturunkan adalah untuk memelihara kewujudan ummah dengan memelihara perkara-perkara asas iaitu jiwa, akal, keturunan, agama, kehormatan di samping mengharamkan segala yang boleh merosakkannya.


Justeru, saya menyeru agar para ibu bapa termasuk diri saya sendiri agar sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak kita, pergaulan mereka mesti diambil tahu dan diawasi, terutama dengan siapa mereka bergaul? Ke mana mereka pergi? Dan apa aktiviti mereka? Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan perihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasannya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun. Insya Allah, kita semua akan dijauhi dari bahaya dadah ini.




Sumber :


....NurMawardah.....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan