Bertolak ansurlah di dalam pergaulan..... Kasih sayang sentiasa berbunga, hidup aman, damai dan harmoni... Salam Ukhwah..Salam 1 Malaysia...

Khamis, Disember 17, 2009

Interaksi Hujung Tahun 2009



Inilah kenangan paling manis buat diriku tahun ini...
Pastinya kenangan terindah ini akan kusemat dalam ingatan....
Sahabat-sahabatku, 3PA/PM2 IPG Kampus Temenggong Ibrahim..
Semoga ukhwah yang dijalin berkekalan selamanya..dan..
Semoga segala pengorbanan kita selama ini akan mendapat keredhaan Ilahi..

Terima kasih para Pensyarah...
Semoga segala ilmu yang dicurah akan dapat kami manfaatkan..
Dalam mendidik generasi akan datang...
Terima kasih IPG Temenggong Ibrahim...


......................mawarni marjonid.............

Rabu, November 25, 2009


click to create your own

ADAB BERJANJI

Islam membenarkan berjanji berkaitan perkara-perkara yang baik sahaja. Islam melarang umatnya memungkiri janji. Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim, kita mesti menunaikan janji yang dibuat sama ada dengan orang Islam ataupun bukan Islam. Justeru, di antara adab-adab berjanji yang mesti diamalkan apabila berjanji ialah :


1. Sebarang janji yang dibuat mesti ditunaikan, kerana janji ibarat hutang yang perlu dijelaskan. Jangan menyalahi janji tanpa alasan yang munasabah. Apabila kita sering memungkiri janji, orang lain tidak akan mempercayai kita.

2. Perjanjian tersebut mesti bertujuan baik. Elakkan berjanji tentang perkara-perkara yang ditegah oleh AllahS.W.T. seperti melakukan kejahatan dan menganiaya orang lain kerana hukumnya haram malah haram juga menunaikan janji itu.

3. Pertimbangkan dahulu janji yang hendak dibuat. Sekiranya merasa janji tersebut dapat dipenuhi, maka boleh berjanji. Sebaliknya, jika rasa tidak mampu untuk menunaikannya, janganlah berjanji dikhuatiri kita akan dituduh mengkhianati sehingga boleh menimbulkan perasaan tidak percaya mempercayai.

4. Pilih masa dan keadaan yang tenang dan selesa semasa berjanji, supaya jelas maksud perjanjian tersebut dan sempat berfikir tentang kemampuan untuk menunaikan janji tersebut. Elakkan berjanji dalam keadaan tergesa-gesa kerana perjanjian boleh menjadi tidak jelas/serius.

5. Berjanjilah dalam keadaan yang baik dan mesra supaya masing-masing reda dengan janji yang dibuat serta ikhlas untuk menunaikannya dengan sempurna.

6. Apabila seseorang berjanji memberikan sesuatu kepada orang lain walaupun dengan kanak-kanak, janji tersebut mesti dipenuhi dan dihormati.


.............Cikgu Mawar.......

Fikir sebelum berjanji

KONSEP DAN CIRI-CIRI PELAKSANAAN KELAS BERCANTUM YANG TELAH DILAKSANAKAN OLEH PIHAK KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA.

Pembangunan pendidikan di Malaysia pada peringkat awal tertumpu kepada pembinaan sekolah di bandar dan kawasan pertumbuhan ekonomi utama negara. Sekolah-sekolah di bandar dibekalkan dengan kemudahan bangunan dan peralatan yang baik dan lengkap, guru terlatih dan sumber mencukupi. Sebaliknya, peluang menikmati pendidikan bagi penduduk di luar bandar dan pedalaman amat terhad. Malah sekolah luar bandar mengalami pelbagai kekurangan daripada segi infrastruktur dan peralatan, kemudahan asas, guru serta sokongan ibu bapa dan masyarakat. Ketidaksamarataan dan jurang pendidikan ini wujud disebabkan keutamaan pada masa itu tertumpu kepada usaha memastikan lebih ramai pelajar mendapat pendidikan berbanding dengan kualiti pendidikan yang disediakan.



Selain lokasi, jurang pendidikan juga wujud antara jenis sekolah, kaum, jantina, taraf sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Jurang ini menyebabkan perbezaan prestasi dan pencapaian pelajar, penyediaan kemudahan fizikal dan bukan fizikal serta keciciran pelajar. Impak jurang pendidikan telah menyumbang kepada keadaan tidak seimbang yang ketara daripada segi sosioekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar.



Usaha merapatkan jurang pendidikan telah berkembang pesat dan mencapai banyak kemajuan dan terus diberi keutamaan sejajar dasar Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar.



Selaras dengan dasar ini, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) menyasarkan matlamat untuk memastikan semua sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang termasuklah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sebagaimana petikan daripada Perutusan Tahun Baru, 2006 oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Hishammudin Tun Hussein iaitu “... merapatkan jurang pendidikan, yang merangkumi jurang di antara bandar dengan luar bandar; jurang di antara yang miskin dengan yang kaya; jurang digital dan jurang antara mereka yang berkeperluan khas; agar tidak ada sebarang golongan yang tercicir dari arus pembangunan negara.”





Justeru itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengenal pasti jurang pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses, ekuiti dan kualiti dapat ditingkatkan. Di antaranya ialah jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar yang merujuk kepada ketidaksamarataan daripada segi penyediaan infrastruktur dan penempatan guru terutama di Sekolah Kurang Murid (SKM), sekolah Orang Asli dan sekolah di pedalaman.





Sehingga tahun 2005, terdapat 2,261 (29.7%) sekolah rendah yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid, iaitu sekolah yang enrolmennya kurang daripada 150 orang. Hampir 90 peratus Sekolah Kurang Murid ini berada dalam keadaan daif dan menghadapi masalah kekurangan peruntukan, kemudahan dan guru terlatih. Norma perjawatan sedia ada tidak bersesuaian dengan keperluan Sekolah Kurang Murid seperti ketiadaan perjawatan guru pemulihan. Selain itu, penempatan guru di Sekolah Kurang Murid sukar dilakukan kerana kebanyakannya berada jauh di pedalaman. Jumlah murid yang terlalu kecil menyebabkan Sekolah Kurang Murid mengamalkan pengajaran kelas bercantum.



Kelas bercantum merupakan kelas yang diwujudkan kerana bilangan murid dalam tahun persekolahan adalah kurang daripada 15 orang dan bilangan ini tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kelas biasa. Perlaksanaan kelas bercantum atau multigrade teaching iaitu mengajar sebuah kelas yang terdiri lebih daripada satu tahun persekolahan biasanya diamalkan di Sekolah Kurang Murid yang biasanya didapati di sekolah-sekolah di kawasan terpencil dan pedalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak yang bilangan penduduknya kurang ramai dan menyebabkan bilangan muridnya juga kurang.





Bilangan murid daripada satu tahun persekolahan tidak mencukupi untuk diletakkan dalam sebuah kelas biasa dan kelas bercantum akan diwujudkan dengan mencantumkan dua atau tiga kumpulan murid yang tediri daripada tahun persekolahan yang berbeza di dalam satu kelas. Sesebuah kelas bercantum mungkin mengandungi murid-murid daripada dua atau tiga tahun persekolahan ( iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 atau Tahun 1, 2 dan 3 ). Seorang guru akan dikehendaki mengajar lebih daripada satu tahun persekolahan secara serentak dalam sesebuah kelas bercantum.





Kelas bercantum merupakan kelas yang unik yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Di antara konsep dan ciri-ciri kelas bercantum yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah umur murid-murid dalam sesebuah kelas bercantum berlainan mengikut tahun persekolahan mereka. Sebagai contoh, sebuah kelas yang mencantumkan murid-murid Tahun 1 dan 2 adalah dalam lingkungan tujuh hingga lapan tahun. Percantuman murid-murid mengikut umur yang hampir sama ini dilakukan bagi memudahkan guru melaksanakan proses pengajaran dan pelajaran di dalam kelas bercantum.







Bilangan murid dalam satu tahun persekolahan pula tidak melebihi 14 orang. Bilangan kelas bercantum akan ditentukan dengan membuat pertimbangan berdasarkan bilangan murid dalam setiap tahun persekolahan. Sekiranya jumlah murid dalam tiga tahun persekolahan tidak melebihi 14 orang murid, maka tiga tahun persekolahan dicantumkan dalam sebuah kelas bercantum.





Selain itu, biasanya seorang guru ditugaskan mengajar murid-murid daripada dua atau tiga tahun persekolahan secara serentak dalam sebuah kelas yang sama. Namun, kriteria percantuman kelas juga bergantung kepada bilangan tenaga pengajar yang sedia ada. Sebagai contoh, sebuah sekolah yang mempunyai 3 orang guru boleh mencantumkan murid-murid daripada tiga tahun persekolahan bagi membentuk sebuah kelas bercantum. Manakala, sebuah sekolah yang mempunyai 4 atau 5 orang guru pula boleh mencantumkan murid-murid daripada dua tahun persekolahan dalam sebuah kelas. Namun, biasanya, bilangan guru dalam sekolah yang mempunyai kelas bercantum tidak melebihi 5 orang kerana peruntukan guru adalah mengikut nisbah bilangan kelas yang terdapat disesebuah sekolah berkenaan.





Ciri seterusnya bagi kelas bercantum ialah strategi pengajaran dan pembelajarannya yang tersendiri dan berbeza daripada kelas biasa di mana, semasa guru mengajar murid-murid dalam satu tahun persekolahan, murid-murid dari tahun persekolahan yang lain akan ditinggalkan. Justeru, untuk memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan, guru yang terlibat perlu memilih dan merancang strategi pengajaran yang sesuai untuk menyelenggarakan bilik darjah. Namun demikian, keperluan murid juga diambil kira di mana, murid-murid Tahun 1 yang baru masuk sekolah dan memerlukan perhatian dan layanan perlu diutamakan oleh guru.

Demikian juga murid-murid Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan penting seperti UPSR. Oleh itu, kelas Tahun 1 dan Tahun 6 seeloknya tidak dicantumkan dan dijadikan kelas biasa. Namun demikian, kriteria ini tidak semestinya dapat dipenuhi oleh sekolah yang mengamalkan sistem kelas bercantum. Ia bergantung kepada pihak sekolah yang perlu memikirkan kriteria yang sesuai berdasarkan keutamaan dan keadaan sekolah itu sendiri





Selain itu, keadaan bangunan dan kemudahan-kemudahan sekolah yang mempunyai kelas bercantum biasanya kurang lengkap dan biasanya merupakan pondok-pondok kecil sahaja dengan hanya mempunyai dua atau tiga buah bilik darjah. Jika sekolah itu hanya mempunyai dua buah bilik darjah, maka kelas bercantumnya terdiri daripada murid-murid dari tiga tahun persekolahan. Manakala sekolah yang mempunyai tiga bilik darjah, kelas bercantumnya terdiri daripada murid-murid dari dua tahun persekolahan.





Sekolah-sekolah yang mengamalkan sistem kelas bercantum ini juga biasanya terletak di kawasan-kawasan terpencil yang bilangan penduduknya tidak ramai. Namun demikian, dalam tempoh PIPP ini, Kementerian Pelajaran Malaysia akan merapatkan jurang pendidikan dengan memberi tumpuan kepada fokus dan strategi pelaksanaan yang di antaranya ialah untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar seperti menambah baik Program Pembangunan Pendidikan Luar Bandar Sabah dan Sarawak, menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas, menyediakan bekalan elektrik 24 jam termasuk membekal genset berkapasiti 30-35 KVa ke sekolah pedalaman, merintis penggunaan solar hybrid dan merintis penggunaan empangan mini, menyediakan bekalan air ke sekolah, menambah baik Sekolah Kurang Murid, menilai pelaksanaan Sekolah Pusat bagi tujuan peluasan dan mewujudkan norma baru untuk guru di Sekolah Kurang Murid.



B. HURAIKAN PENDEKATAN DAN STRATEGI PENGAJARAN YANG BOLEH DIAPLIKASIKAN OLEH GURU DALAM KELAS BERCANTUM SEMASA PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

Pendekatan dan strategi pengajaran yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam kelas bercantum semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan pastinya berbeza dengan pendekatan dan strategi pengajaran bagi kelas biasa. Bagi memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan di dalam kelas bercantum, guru yang terlibat perlu memilih strategi pengajaran yang sesuai untuk dilaksanakan dalam bilik darjah. Di antara strategi yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam kelas bercantum semasa proses pengajaran dan pembelajaran ialah pertama, penyusunan bilik darjah iaitu melibatkan penyusunan kerusi-meja dan alatan perlu sesuai dengan jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Sebagai contoh, sebuah kelas bercantum bagi murid-murid Tahun 1 dan 2, murid-murid Tahun 1 disusun secara berkumpulan, manakala murid-murid Tahun 2 duduk secara formal. Dua papan hitam digunakan dan kedua-duanya terletak di tempat pengadang yang diletakkan ditengah-tengah kelas sebagai pembahagi kelas. Tempat duduk guru pula diletakkan di tempat yang membolehkan guru mengawasi kedua-dua tahun persekolahan itu. Selain itu, oleh kerana umur dan kebolehan murid-murid dalam kelas bercantum adalah berbeza, pelbagai cara pengajaran perlu digunakan untuk mencapai objektif pelajaran. Contohnya, pengajaran kelas, kumpulan dan perseorangan.

Strategi kedua melibatkan penyusunan jadual waktu kelas bercantum yang disusun berdasarkan peruntukan masa yang ditetapkan bagi setiap mata pelajaran. Jadual waktu pelajaran bagi setiap tahun persekolahan dalam sebuah kelas bercantum seboleh-bolehnya disusun mengukut mata pelajaran yang sama dalam waktu pelajaran yang sama. Sebagai contoh, semasa murid Tahun 1 belajar Matematik, murid-murid Tahun 2 juga harus disusun jadualnya dengan mata pelajaran yang sama.

Untuk mencapai objektif pelajaran supaya murid-murid boleh menguasai kemahiran 3M, iaitu membaca menulis dan mengira, tumpuan hendaklah diberikan kepada mata pelajaran asas iaitu Bahasa Melayu bagi Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Matematik dan juga Bahasa Inggeris. Mata pelajaran yang berlainan dalam tahun persekolahan yang berlainan juga boleh disusun dalam waktu pelajaran yang sama, sekiranya pendekatan dan kaedah pengajaran guru boleh diubahsuai mengikut aktiviti pengajaran dan pembelajaran kelas masing-masing.

Selain itu, pengurusan alat bantu mengajar adalah penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, pelbagai alat bantu mengajar perlu disediakan dan kekurangan alat bantu mengajar boleh menjejaskan pencapaian yang diharapkan. Guru juga perlu tahu menggunakan alat bantu mengajar dengan cekap kerana kegagalan guru menguruskan alat bantu mengajar dengan berkesan boleh menimbulkan masalah disiplin di kalangan murid.

Seterusnya, guru mestilah memastikan setiap murid mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan. Pengurusan murid-murid dilakukan dengan melantik ketua-ketua darjah bagi membantu guru mengawal disiplin kelas. Secara tidak langsung dapat memupuk kepimpinan di kalangan ketua-ketua darjah yang dilantik dan murid-murid yang lain juga akan belajar cara menghormati ketua. Tugas guru pula dapat dijalankan dan dilaksanakan dengan lebih lancar sebagaimana dirancang dengan bantuan ketua-ketua darjah yang dilantik.

Seterusnya, dalam mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kelas bercantum, percantuman kemahiran-kemahiran untuk diajarkan dalam waktu pelajaran yang sama perlu dititikberatkan. Untuk memudahkan penyediaan persediaan mengajar serta melancarkan perjalanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bercantum guru hendaklah memahami dan mematuhi prinsip-prinsip percantuman kemahiran iaitu kemahiran dan kandungan yang seakan-akan sama bagi tahun-tahun persekolahan yang berlainan hendaklah dicantumkan serentak dalam waktu pelajaran yang sama. Contohnya, dalam Bahasa Melayu, kemahiran yang sama seperti kemahiran lisan bagi Tahun 1 dan Tahun 2 dicantumkan dalam waktu pelajaran yang sama dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbeza seperti menamakan benda maujud atau gambar bagi Tahun 1, manakala Tahun 2, bercerita berpandukan gambar atau keadaan sebenar dengan menggunakan perkataan.

Seterusnya, kemahiran yang khusus bagi satu-satu tahun persekolahan tertentu hendaklah disusun dalam waktu tertentu untuk diajarkan kepada murid-murid yang berkenaan. Walaupun terdapat kemahiran-kemahiran yang sama atau seakan-akan sama di antara tahun-tahun persekolahan yang berlainan disusun dalam waktu pelajaran yang sama, guru boleh meluaskan lagi skop pelajarannya semasa menjalankan aktiviti pengayaan bagi murid-murid yang berada dalam tahun persekolahan tertentu.

Justeru itu, rancangan kerja untuk mencantumkan kemahiran-kemahiran yang sama atau seakan-akan sama mestilah berlandaskan prinsip-prinsip tersebut dan mengikut format-format yang dicadangkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.

Selain itu, pelbagai kaedah dan strategi mengikut tahun persekolahan perlu dirancang agar pengajaran dan pembelajaran bagi kelas bercantum dapat dilaksanakan dengan berkesan. Di antara kaedah yang boleh dilaksanakan adalah seperti kaedah kelas yang digunakan untuk menyampaikan pelajaran kepada semua murid yang berada di dalam bilik darjah pada masa yang sama. Biasanya kaedah ini digunakan apabila guru hendak menyampaikan maklumat am kepada semua murid atau guru dalam situasi belum mengetahui latar belakang murid atau semasa permulaan sesuatu pelajaran. Kaedah kelas ini sesuai digunakan untuk mengajar mata pelajaran seperti Pendidikan Jasmani, Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Moral.

Kaedah Kumpulan juga boleh digunakan dalam sebuah kelas bercantum di mana murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kebolehan murid dan guru menyampaikan pelajaran secara bergilir-gilir, kumpulan demi kumpulan. Kaedah ini sesuai digunakan untuk mengajar kemahiran asas atau menjalankan aktiviti pengayaan dengan pemulihan. Bagi pengajaran aktiviti pembelajaran lain seperti kerja projek, permainan, simulasi dan sebagainya pula, murid-murid dibahagikan mengikut kumpulan dengan pelbagai kebolehan dalam setiap kumpulan.

Selain kaedah kumpulan, kaedah individu juga kadangkala harus digunakan sebagai strategi pengajaran dan pembelajaran dalam sesebuah kelas bercantum. Kaedah ini boleh digunakan apabila semua kumpulan murid telah melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran dan guru akan mengambil kesempatan ini untuk membimbing murid yang berkenaan secara individu. Selesai memberi bimbingan, guru bolehlah mengajar kumpulan semula mengikut rancangan pengajarannya.

Strategi penggabungjalinan, penyerapan dan pemulihan juga boleh diubahsuai untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kelas bercantum. Namun, pengubahsuaian tersebut haruslah mengambilkira kesesuaian pendekatan penyampaian guru, peringkat pencapaian murid dan kebolehan sedia ada murid.

Sebagai kesimpulannya, untuk memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lancar dan berkesan, guru perlulah memilih pendekatan, strategi dan kaedah yang sesuai untuk menyelenggara sesebuah bilik darjah dan menyampaikan sesuatu pelajaran. Dengan pemilihan pendekatan dan strategi yang sesuai dan berkesan, objektif pelajaran akan tercapai dan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan sekaligus matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang ingin menjadikan pendidikan di Negara kita bertaraf dunia akan tercapai.


BIBLIOGRAFI

 Internet, moe_pipp_07: Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia 2006-2010.

 Modul 2 Ilmu Pendidikan : Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, November 2000

 Mok Soon Sang. (1997). Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3. Subang Jaya, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

 Mok Soon Sang. (1997). Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 2. Subang Jaya, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.







Selasa, Oktober 06, 2009

Kartun AntiDadah



Rabu, September 30, 2009

Kenali Warga Pendidik SASSD 2009

WARGA PENDIDIK SASSD :




 Nama Guru : Mohahmad Safi'e bin Sojak
 No. kad pengenalan : 600825-01-5987
 Jawatan : Guru Besar
 Jawatan/Tugas Lain :
  • PENGERUSI MAJLIS GURU
  • SETIAUSAHA BADAN KEBAJIKAN
  • GURU SUBJEK MASTER BAHASA ARAB BAGI DARJAH 4, 5 DAN 6
  • GURU PANITIA BAHASA ARAB
  • GURU PEMBIMBING AL-QURAN







Nama Guru : Maryani binti Samad
No. kad pengenalan : 750709-01-6900
Jawatan : GPK 1
Jawatan/Tugas Lain :
  •  GURU KURIKULUM / AKADEMIK
  • GURU PENOLONG KETUA PANATIA
  • GURU PENOLONG PENYELARAS MATAPELAJARAN
  • GURU PENOLONG SETIAUSAHA PEPERIKSAAN
  • GURU PENOLONG INVENTORI
  • NAIB PENGERUSI MAJLIS GURU
  • NAIB SETIAUSAHA BADAN KEBAJIKAN
  • BENDAHARI SUWA SEKOLAH
  • GURU DARJAH 1 & 6 AS-SALAM
  • GURU PEMBIMBING BERZANJI & KUIZ DJH.2


 

Nama Guru : Mawarni binti Marjonid
No. kad pengenalan : 770106-01-6416
Jawatan : GPK HEM
Jawatan/tugas lain :
  • GURU PENOLONG DISIPLIN 
  • GURU PENOLONG KESIHATAN & KEBAJIKAN 
  • GURU PENOLONG KECERIAAN & KEBERSIHAN 
  • GURU PENOLONG PENDAFTARAN & PERPINDAHAN MURID 
  • BENDAHARI BADAN KEBAJIKAN 
  • SETIAUSAHA MAJLIS GURU 
  • GURU DARJAH 3 & 4 AL-FIRDAUS
  • GURU PEMBIMBING SENI KHAT & KUIZ DJH. 3








Nama Guru : Hanisah binti Maat
No. kad pengenalan : 841029-01-5860
Jawatan/Tugas :
  • GURU PENOLONG KAFA
  • GURU PENOLONG BIMBINGAN & KAUNSELING
  • GURU PENOLONG SPBT/SWK
  • GURU PENOLONG KECEMASAN & KESELAMATAN
  • GURU PENOLONG KANTIN
  • GURU DARJAH 2 & 4 AL-JALAL
  • GURU PEMBIMBING SYARAHAN BAHASA ARAB & HAFAZAN
 





Nama Guru : Siti Aishah binti Aman
No. kad pengenalan : 660502-01-5514
Jawatan/Tugas : 
  • GURU PENOLONG TAJ
  • GURU PENOLONG PENYELARAS KELAS
  • GURU PENOLONG PUSAT SUMBER
  • GURU PENOLONG PENYELARAS JADUAL WAKTU
  • GURU KELAS TAJ 6 TAHUN
  • GURU PEMBIMBING AL-QURAN




Nama Guru  :  Siti Bardiana binti Misron
No. kad Pengenalan  : 850821-01-5682
 Jawatan/Tugas  :
  • GURU PENOLONG TAJ 
  • GURU PENOLONG LAWATAN 
  • GURU PENOLONG PERAYAAN & ACARA RASMI 
  • GURU PENOLONG MAJALAH SEKOLAH 
  • GURU KELAS TAJ 5 TAHUN 
  • GURU PEMBIMBING BERCERITA

 



 Perjuangan Mendidik Anak Bangsa Di Bawah Satu Bumbung

Sekolah Agama Seri Sekawan Desa

Selasa, September 29, 2009

ISU MORAL : PENYALAHGUNAAN DADAH

DEFINISI KONSEP, HURAIAN ISU DAN CADANGAN MENGATASINYA.


Dewasa ini, saban hari kita dihadapkan dengan segala macam masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan pelbagai lapisan dan peringkat umur dalam masyarakat di negara kita.  Isu ini sememangnya amat mencemaskan dan menjadi semakin rumit untuk ditangani.  Serasa kita sudah muak dengan isu seks rambang, penagihan dadah, pembuangan anak, dan sebagainya memberi 'isyarat' bahawa gejala sedemikian ini bukanlah hal yang ringan dan ia perlu kepada penelitian dan kepekaan bersama kenapa ia berlaku, siapakah pelakunya dan bagaimanakah cara mengatasinya dari terus berlaku.


Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu masalah sosial yang agak meruncing di kalangan masyarakat khususnya umat Islam.  Penyalahgunaan dadah yang berleluasa ini telah menimbulkan satu masalah besar kepada negara.  Setiap tahun bilangan penagih kian bertambah sedangkan yang sedia menagih tidak pula berkurangan atau sembuh.  Pihak kerajaan telah berusaha keras untuk menangani masalah ini yang kini menjadi satu agenda utama negara untuk membasminya.


Berhubungan dengan itu, kita juga telah dikejutkan dengan kesan buruk akibat dari pengambilan dadah ini iaitu satu penyakit kronik yang dikenali sebagai HIV (Human Immunodeficency Virus) dan AIDS (Aquired Immune Deficency Syndrome).  Walaupun kita benci kepada perkara ini, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk memulih dan menyelamatkan mereka yang terlibat dan berharap mereka akan insaf serta berusaha memulihkan diri sendiri.


Sebenarnya, apakah itu dadah?  Mengikut risalah kecil "Islam Memusuhi Dadah" yang diterbitkan oleh Pasukan Petugas Khas Anti dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1993, telah memberi penjelasan iaitu dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkahlaku dan sebagainya.  Dadah apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal, atau mental.  Penggunaannya yang berterusan akan mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama Islam.


Mengikut kajian oleh pakar-pakar perubatan dan juga pakar-pakar yang membuat penyelidikan ke atas penagih-penagih dadah dan juga mereka-mereka yang menyalahgunakan dadah, di antara faktor-faktor yang membawa kepada salahguna dadah adalah seperti berikut :-
  1. Ingin mengetahui dan seterusnya mencuba-cuba oleh dirinya sendiri.
  2. Tidak mengetahui sebenarnya akan bahaya setiap jenis dadah itu.
  3. Dipengaruhi oleh kawan-kawan kerana hendak menyesuaikan diri dengan sesuatu kumpulan yang sebaya dengannya.
  4. Mencari ketenteraman jiwa kerana terlibat dengan sesuatu masalah kehidupan.
  5. Menghilangkan sesuatu kesusahan yang dideritainya.
  6. Untuk menghilangkan kerunsingan akibat desakan ibubapa.
  7. Tidak menggunakan masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah.
  8. Mengikut tekanan darah muda dengan sekehendak hati.
  9. Kerana masalah rumahtangga yang porak peranda.
  10. Tiada kemesraan di antara ibubapa dengan anak-anak.
  11. Ingin berlagak dengan cara hidup yang lebih tinggi daripada yang termampu olehnya.
  12. Kerana ada punca dadah dan kebijaksanaan pengedar dadah untuk menjalankan pengaruhnya.
  13. Kurang pengetahuan agama dan penghayatan nilai-nilai agama.



Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), menunjukkan masyarakat Melayu atau umat Islam paling ramai menjadi penagih berbanding kaum lain.  Penagih dadah yang dikesan adalah seramai 31 orang penagih baru dan 42 orang penagih berulang setiap hari.


Justeru, di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah dan juga semakin menjurus ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahsyat, kita tidak seharusnya lalai dalam memberi asuhan dan bimbinngan sewajarnya kepada generasi muda masa kini agar tidak terjerumus dan bergelumang dengan najis dadah.  Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta mengasuh mereka dengan kefahaman Islam yang sebenar mesti dilakukan kerana ternyata ianya memberikan kesan mendalam kepada golongan ini.


Maka, dalam kita menghadapi cabaran ini, sedarkah kita terhadap bahaya ancaman penagihan dadah yang telah banyak merosak dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagian rumahtangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara. Bahkan banyak jiwa yang terkorban, semuanya berpunca dari angkara dadah.




Di antara kesan pengambilan dadah ialah pertama, dadah menghancurkan rumahtangga. Keluarga yang dinaungi oleh ketua yang menjadi penagih akan menimbulkan berbagai kesulitan dan masalah di antaranya tidak dapat menyediakan nafkah yang diperlukan bahkan terdapat yang memaksa isteri dan anak-anak memberi wang untuk membeli dadah. Sebagai ketua keluarga, Islam menitikberat mengenai kehidupan ahli keluarga agar dipelihara dengan sebaik-baiknya.



Seterusnya, dadah menimbulkan masalah jenayah. Masalah ketiadaan sumber kewangan untuk memenuhi keperluan keluarga dan diri sendiri boleh menyebabkan hilang punca kawalan diri dan cara yang paling mudah untuk mendapat wang adalah melakukan jenayah sama ada mencuri, memeras ugur, merompak atau membunuh.



Kesan ketiga, dadah merosakkan diri sendiri. Penagih-penagih yang sebati dengan dadah ketagih sudah tidak dapat dipulihkan lagi. Mereka ini tidak dapat mengawal diri sendiri, kotor, busuk malah telah menjadikan lorong-lorong tertentu sebagai tempat tinggal dan tiada haluan hidup, dibenci masyarakat serta membebankan negara.


Selain itu, dadah mendatangkan penyakit HIV/AIDS yang merupakan salah satu kesan buruk akibat dari pengambilan dadah yang berterusan. Penagih menggunakan berbagai cara untuk menghilangkan ketagihan. Di antaranya melalui suntikan pada anggota badan. Bagi yang tidak mempunyai cukup wang, mereka sanggup berkongsi jarum dan cara inilah yang menyebabkan menularnya penyakit tersebut dan penyakit ini masih belum dapat dirawat sepenuhnya, hanya bertahan untuk satu waktu yang tidak dapat dipastikan.






Kesan seterusnya ialah dadah membunuh diri sendiri. Membunuh diri merupakan larangan yang paling besar bagi umat Islam walau dalam keadaan apa sekalipun, dan mengambil dadah boleh membawa kepada kematian.

 


Justeru, dalam menjamin kesejahteraan hidup, Islam telah menetapkan panduan-panduan dan larangan-larangan dalam pengambilan bahan makanan atau barang gunaan agar umatnya tidak terjerumus dalam mengambil benda-benda yang ditegah. Ini semua adalah untuk memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara akidahnya.



Kita sering mendengar pepatah arab yang bermaksud, “ Akal yang sihat terletak pada tubuh badan yang sihat”. Ini bermakna hubungan di antara akal (mental/spritual) dan badan (fizikal) amat berkaitrapat dan akan memberi kesan yang mendalam di antara satu sama lain. Oleh kerana itu, Islam menggesa umatnya supaya mengambil makanan yang baik dan halal termasuklah bersih dan berkhasiat. Tegahan mengambil benda/bahan makanan yang kotor, jijik dan keji serta yang ditegah adalah jelas dilarang sama sekali termasuklah mengambil benda-benda yang memabukkan seperti dadah kerana mempunyai kaitan yang rapat dengan mental/spritual dan ia amat mempengaruhi kesempurnaan amal ibadat seseorang. Sebagai umat Islam, kita perlu mengetahui bahawa dadah adalah sejenis ‘bahan’ kotor, najis, jijik dan keji yang boleh merosakkan kesihatan tubuh badan kerana sifatnya yang memabukkan dan mengkhayalkan.






Dalam hal ini juga, para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa menagih dadah hukumnya adalah haram di sisi Islam. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinyasupaya kamu berjaya”.


Dan sabda Rasulullah s.a.w.    كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ   ..... حديث رواه مسلم
Maksudnya : “ Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram ”.


Berdasarkan ayat al-quran dan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa dadah adalah haram hukumnya disebabkan orang yang menyalahgunakan dadah akan menyebabkan dirinya khayal, hilang kewarasan akal pertimbangan dan yang lebih dahsyat lagi akan menyebabkan penagih menjadi agresif dengan sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan bekalan termasuk menculik, merompak, membunuh dan sebagainya.




Dewasa ini terdapat pelbagai jenis dadah seperti pil ecstacy, pil kuda, syabu, daun ketum, ubat batuk dan sebagainya yang terdapat di pasaran gelap. Namun ia tidak sesekali terkecuali dari pengertian khamar dan hukumnya tetap sama.


Pernahkah kita terfikir, apakah akibat dan kesan yang akan menimpa seseorang penagih dadah atau peminum arak?. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:
(مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَآبِدِ وَثَنٍ ( أو قما قال )         (حديث رواه ابن ماجه


Maksudnya : “ Penagih khamar ( penagih dadah ) sama seperti penyembah berhala ”.




Menurut al-Syaukani dalam kitabnya Nailul Autar, hadis tersebut merupakan ancaman keras kerana menyembah berhala adalah merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Jadi menyamakan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala menunjukkan betapa besarnya dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut bagi mereka yang tahu tentang hukumnya.


Demikianlah nasib malang yang menimpa sebahagian anak muda dan remaja kita apabila mereka terjebak dengan gejala dadah. Apakah kita sanggup membiarkan perkara ini berterusan bermaharajalela dalam masyarakat kita?.


Justeru, marilah kita menginsafi diri sejauh mana kita telah menjaga mereka yang di bawah jagaan kita supaya mereka terselamat dari pengaruh penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api neraka dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.




Kita sebagai ibu bapa hendaklah sedar bahawa kita bukan sekadar dipertanggungjawab untuk mendidik anak-anak sewaktu di dunia, malah tanggungjawab ini pasti ditanya di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikan amanah yang sepatutnya atau telah menkhianatinya.


Begitu juga, masyarakat hendaklah berperanan membantu membendung dan membenteras ancaman dadah dalam masyarakat kita dengan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut dibahu pihak berkuasa atau polis semata-mata. Kerana kesedaran masyarakat tentang akibat buruknya kesan penagihan dadah dapat mengawal serta menghalang dari merebaknya gejala dadah. Dan yang terpenting masyarakat juga hendaklah memainkan peranan membantu proses pemulihan dan berupaya membantu bekas-bekas penagih menjalani kehidupan baru bebas dan sihat tanpa dadah.


Sehubungan itu, di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain di antaranya :


Pertama : Pastikan anak-anak mendirikan solat dengan sempurna



Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan solat cukup lima waktu dengan sempurna, kerana solat yang sempurna boleh menjamin seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.






Kedua : Biasakan Anak-anak membaca al-Quran dan menghayati maksudnya.


Ibu bapa hendaklah membiasakan anak-anak membaca al-quran. Ditambah dengan mengerjakan solat sunat, zikrullah dan lain-lain lagi kerana faedahnya amat banyak.

Ketiga : Amalkan Perkara Amar Ma’aruf Nahi Mungkar Dalam Kehidupan.




Kehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar ma’aruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.


Keempat : Mewujudkan Suasana Harmoni Dalam Rumahtangga.


Rumahtangga yang harmoni dapat melahirkan suasana keluarga yang bahagia serta anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Yang paling penting elakkan anak-anak hidup berfoya-foya tanpa tujuan dan faedah kerana ia boleh membuka ruang kepada mereka untuk berjinak-jinak dengan dadah.


Kelima : Tanamkan Didikan Kepada Anak-Anak Supaya Benci Dadah serta Sentiasa Berhubung Dengan Pihak yang Bertanggungjawab.




Penglibatan ibu bapa mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah dipertingkatkan, disamping menjauhi tabiat menghisap rokok dan sebagainya. Keadaan ini dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok.


Sebagai penutup, Islam amat menitikberatkan mengenai kesejahteraan hidup umatnya. Dalam banyak perkara, keutamaan terhadap keimanan seseorang adalah menjadi tunjang utama untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Jelaslah syariat Islam diturunkan adalah untuk memelihara kewujudan ummah dengan memelihara perkara-perkara asas iaitu jiwa, akal, keturunan, agama, kehormatan di samping mengharamkan segala yang boleh merosakkannya.


Justeru, saya menyeru agar para ibu bapa termasuk diri saya sendiri agar sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak kita, pergaulan mereka mesti diambil tahu dan diawasi, terutama dengan siapa mereka bergaul? Ke mana mereka pergi? Dan apa aktiviti mereka? Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan perihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasannya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun. Insya Allah, kita semua akan dijauhi dari bahaya dadah ini.




Sumber :


....NurMawardah.....


Sabtu, September 12, 2009

Selamat Datang ke Sekolah Agama Seri Sekawan Desa














Sejarah Penubuhan Sekolah

Sebelum tahun 1950, penduduk kampung kawasan 9 tidak mempunyai sekolah agama sendiri. Ibu bapa hanya menghantar dan memberi didikan agama kepada anak-anak mereka melalui sekolah pondok memandangkan kesulitan dan kesedaran betapa pentingnya pelajaran agama.

Pada tahun 1952, masyarakat pada waktu itu berpakat untuk mendirikan sebuah bangunan sekolah agama secara bergotong-royong. Sekolah tersebut didirikan dengan beratapkan rumbia dan berlantaikan papan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Tuan Haji Saniman, selaku Ketua Kampung ketika itu.


Pada tahun 1957, bangunan sekolah agama tersebut terpaksa dipindahkan sebelum diguna semula kerana roboh akibat dipukul ribut. Pada tahun 1968, kerajaan telah membina bangunan Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa. Bermula tarikh tersebut, pihak pentadbiran sekolah agama telah menumpang dan menggunasama bangunan tersebut untuk anak-anak kampung menimba ilmu agama.

Sehinggalah pada tahun 1999, Sekolah Agama Seri Sekawan Desa telah mendapat bangunan sendiri di bawah peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM 900,000.00 dan telah dirasmikan oleh Y.A.B. Tuan Haji Abdul Ghani bin Othman ketika itu. Bangunan ini terletak di atas tanah seluas ½ ekar yang telah diwakafkan oleh Tuan Haji Shahri bin Haji Othman, Imam Masjid Jamek Kampung Parit Saniman.

 Bangunan ini mempunyai enam buah bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah bilik sembahyang, kantin, stor, tempat letak kenderaan, tandas dan tempat wudhuk. Jumlah guru pada masa ini adalah seramai 7 orang dengan pelajar seramai 225 orang yang terdiri dari kelas Tadika Agama Johor dan Darjah 1 hingga Darjah 6.

AKTIVITI SEKOLAH



Aktiviti yang dijalankan :
Gotong royong membersihkan kawasan sekolah.

Tarikh & Masa :
26 Julai 2009, Jam 9.00 pagi


Aktiviti yang dijalankan :
Pertandingan Mewarna bagi murid-murid TAJ sempena Hari Kebangsaan 2009.

Tarikh & Masa :
21 Ogos 2009, Jam 2.30 petang



Aktiviti yang dijalankan :
Gotong royong membersihkan kelas.
Murid-murid yang terlibat:
Darjah 4, 5 dan 6
Tarikh & Masa :
12 Ogos 2009, Jam 5.30 petang



Aktiviti yang dijalankan :
Penyampaian Hadiah kepada Cikgu Mariani di atas Kelahiran Cahayamata ke2.  Tahniah Cikgu..

Tarikh & Masa :
2 September 2009, Jam 5.15 petang



Aktiviti yang dijalankan :
Pertandingan Mencipta Kad Hari Raya Bertulisan Jawi Paling Kreatif

Tarikh & Masa :
10 September 2009, Jam 2.30 petang (bagi Darjah Rendah), Jam 4.00 petang (bagi Darjah Tinggi), Matapelajaran : Pendidikan Jawi


Aktiviti yang dijalankan :
Program Tadarus & Khatam Al-Quran sempena Bulan Ramadhan bagi Murid-murid Darjah 4, 5 dan 6.

Tarikh & Masa :
Sepanjang bulan Ramadhan, Jam 5.30 - 6.30 petang.
Majlis Khatam Al-Quran : 17 September 2009.



Aktiviti yang dijalankan :
Program Marhaban Aidilfitri
Tarikh & Masa :
27 September 2009, Mulai Jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang.
Murid-murid yang terlibat :
Darjah 4, 5 dan 6.
Program ini pertama kali dilaksanakan dan sebanyak lebih kurang 50 buah rumah berjaya dikunjungi oleh 2 kumpulan marhaban.  Disamping dapat mengeratkan hubungan antara guru dengan murid, program ini juga dapat memberi peluang kepada guru-guru untuk mengenal dengan lebih dekat keluarga anak didik mereka.  Kumpulan marhaban sekolah juga berjaya memperoleh sumbangan ikhlas dari keluarga murid yang dikunjungi sebanyak RM 360.00.  Sumbangan ini akan dimasukkan ke dalam akaun Badan Kebajikan SASSD.  Semoga program seperti ini dapat diteruskan pelaksanaanya di masa akan datang.


Warga Sekolah

Tenaga Pengajar Sekolah Agama Seri Sekawan Desa
Berdiri dari Kanan : Pn. Siti Aishah binti Aman, Pn. Hanisah binti Maat, Cik Nurul Jannah bt. Md. Supaat dan Pn Siti Bardiana binti Misron.
Duduk dari kanan : Pn. Mawarni binti Marjonid, Ustaz Hj. Mohahmad Safi'e bin Sojak dan Pn. Maryani binti Samad

Ahad, September 06, 2009

VISI DAN MISI

SEKOLAH AGAMA SERI SEKAWAN DESA
MOTTO
 'BERILMU, BERIMAN, BERTAQWA'
VISI
KE ARAH CELIK HURUF 100%


MISI
BERUSAHA MELAHIRKAN PELAJAR YANG BERILMU, BERMORAL DAN BERKETERAMPILAN



MATLAMAT

Sekolah Agama Seri Sekawan Desa akan berusaha melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang, berdisiplin dan bersahsiah mulia selaras dengan Matlamat Pendidikan Islam, seterusnya menjadikan SASSD sebuah institusi yang dihargai dan disayangi oleh pelajar dan masyarakat.


OBJEKTIF

1. Membimbing pelajar-pelajar menjadi pelajar yang berdisiplin, membentuk sahsiah yang mulia melalui pemupukan penghayatan nilai-nilai murni selaras dengan Falsafah Pendidikan Islam.
2. Membimbing pelajar-pelajar ke arah kecemerlangan dalam pelajaran.
3. Mewujudkan sekolah yang selamat, bersih, ceria dan harmoni.
4. Mendidik pelajar-pelajar menjadi manusia yang produktif dan berinovatif, berdaya juang dan berketrampilan dalam pelbagai bidang kea rah pembangunan Negara.
5. Sentiasa meningkatkan budaya penyayang dan bekerjasama dalam kehidupan warga SASSD dan masyarakat.