Bertolak ansurlah di dalam pergaulan..... Kasih sayang sentiasa berbunga, hidup aman, damai dan harmoni... Salam Ukhwah..Salam 1 Malaysia...

Rabu, November 25, 2009


click to create your own

ADAB BERJANJI

Islam membenarkan berjanji berkaitan perkara-perkara yang baik sahaja. Islam melarang umatnya memungkiri janji. Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim, kita mesti menunaikan janji yang dibuat sama ada dengan orang Islam ataupun bukan Islam. Justeru, di antara adab-adab berjanji yang mesti diamalkan apabila berjanji ialah :


1. Sebarang janji yang dibuat mesti ditunaikan, kerana janji ibarat hutang yang perlu dijelaskan. Jangan menyalahi janji tanpa alasan yang munasabah. Apabila kita sering memungkiri janji, orang lain tidak akan mempercayai kita.

2. Perjanjian tersebut mesti bertujuan baik. Elakkan berjanji tentang perkara-perkara yang ditegah oleh AllahS.W.T. seperti melakukan kejahatan dan menganiaya orang lain kerana hukumnya haram malah haram juga menunaikan janji itu.

3. Pertimbangkan dahulu janji yang hendak dibuat. Sekiranya merasa janji tersebut dapat dipenuhi, maka boleh berjanji. Sebaliknya, jika rasa tidak mampu untuk menunaikannya, janganlah berjanji dikhuatiri kita akan dituduh mengkhianati sehingga boleh menimbulkan perasaan tidak percaya mempercayai.

4. Pilih masa dan keadaan yang tenang dan selesa semasa berjanji, supaya jelas maksud perjanjian tersebut dan sempat berfikir tentang kemampuan untuk menunaikan janji tersebut. Elakkan berjanji dalam keadaan tergesa-gesa kerana perjanjian boleh menjadi tidak jelas/serius.

5. Berjanjilah dalam keadaan yang baik dan mesra supaya masing-masing reda dengan janji yang dibuat serta ikhlas untuk menunaikannya dengan sempurna.

6. Apabila seseorang berjanji memberikan sesuatu kepada orang lain walaupun dengan kanak-kanak, janji tersebut mesti dipenuhi dan dihormati.


.............Cikgu Mawar.......

Fikir sebelum berjanji

KONSEP DAN CIRI-CIRI PELAKSANAAN KELAS BERCANTUM YANG TELAH DILAKSANAKAN OLEH PIHAK KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA.

Pembangunan pendidikan di Malaysia pada peringkat awal tertumpu kepada pembinaan sekolah di bandar dan kawasan pertumbuhan ekonomi utama negara. Sekolah-sekolah di bandar dibekalkan dengan kemudahan bangunan dan peralatan yang baik dan lengkap, guru terlatih dan sumber mencukupi. Sebaliknya, peluang menikmati pendidikan bagi penduduk di luar bandar dan pedalaman amat terhad. Malah sekolah luar bandar mengalami pelbagai kekurangan daripada segi infrastruktur dan peralatan, kemudahan asas, guru serta sokongan ibu bapa dan masyarakat. Ketidaksamarataan dan jurang pendidikan ini wujud disebabkan keutamaan pada masa itu tertumpu kepada usaha memastikan lebih ramai pelajar mendapat pendidikan berbanding dengan kualiti pendidikan yang disediakan.



Selain lokasi, jurang pendidikan juga wujud antara jenis sekolah, kaum, jantina, taraf sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Jurang ini menyebabkan perbezaan prestasi dan pencapaian pelajar, penyediaan kemudahan fizikal dan bukan fizikal serta keciciran pelajar. Impak jurang pendidikan telah menyumbang kepada keadaan tidak seimbang yang ketara daripada segi sosioekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar.



Usaha merapatkan jurang pendidikan telah berkembang pesat dan mencapai banyak kemajuan dan terus diberi keutamaan sejajar dasar Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar.



Selaras dengan dasar ini, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) menyasarkan matlamat untuk memastikan semua sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang termasuklah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sebagaimana petikan daripada Perutusan Tahun Baru, 2006 oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Hishammudin Tun Hussein iaitu “... merapatkan jurang pendidikan, yang merangkumi jurang di antara bandar dengan luar bandar; jurang di antara yang miskin dengan yang kaya; jurang digital dan jurang antara mereka yang berkeperluan khas; agar tidak ada sebarang golongan yang tercicir dari arus pembangunan negara.”





Justeru itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengenal pasti jurang pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses, ekuiti dan kualiti dapat ditingkatkan. Di antaranya ialah jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar yang merujuk kepada ketidaksamarataan daripada segi penyediaan infrastruktur dan penempatan guru terutama di Sekolah Kurang Murid (SKM), sekolah Orang Asli dan sekolah di pedalaman.





Sehingga tahun 2005, terdapat 2,261 (29.7%) sekolah rendah yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid, iaitu sekolah yang enrolmennya kurang daripada 150 orang. Hampir 90 peratus Sekolah Kurang Murid ini berada dalam keadaan daif dan menghadapi masalah kekurangan peruntukan, kemudahan dan guru terlatih. Norma perjawatan sedia ada tidak bersesuaian dengan keperluan Sekolah Kurang Murid seperti ketiadaan perjawatan guru pemulihan. Selain itu, penempatan guru di Sekolah Kurang Murid sukar dilakukan kerana kebanyakannya berada jauh di pedalaman. Jumlah murid yang terlalu kecil menyebabkan Sekolah Kurang Murid mengamalkan pengajaran kelas bercantum.



Kelas bercantum merupakan kelas yang diwujudkan kerana bilangan murid dalam tahun persekolahan adalah kurang daripada 15 orang dan bilangan ini tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kelas biasa. Perlaksanaan kelas bercantum atau multigrade teaching iaitu mengajar sebuah kelas yang terdiri lebih daripada satu tahun persekolahan biasanya diamalkan di Sekolah Kurang Murid yang biasanya didapati di sekolah-sekolah di kawasan terpencil dan pedalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak yang bilangan penduduknya kurang ramai dan menyebabkan bilangan muridnya juga kurang.





Bilangan murid daripada satu tahun persekolahan tidak mencukupi untuk diletakkan dalam sebuah kelas biasa dan kelas bercantum akan diwujudkan dengan mencantumkan dua atau tiga kumpulan murid yang tediri daripada tahun persekolahan yang berbeza di dalam satu kelas. Sesebuah kelas bercantum mungkin mengandungi murid-murid daripada dua atau tiga tahun persekolahan ( iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 atau Tahun 1, 2 dan 3 ). Seorang guru akan dikehendaki mengajar lebih daripada satu tahun persekolahan secara serentak dalam sesebuah kelas bercantum.





Kelas bercantum merupakan kelas yang unik yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Di antara konsep dan ciri-ciri kelas bercantum yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah umur murid-murid dalam sesebuah kelas bercantum berlainan mengikut tahun persekolahan mereka. Sebagai contoh, sebuah kelas yang mencantumkan murid-murid Tahun 1 dan 2 adalah dalam lingkungan tujuh hingga lapan tahun. Percantuman murid-murid mengikut umur yang hampir sama ini dilakukan bagi memudahkan guru melaksanakan proses pengajaran dan pelajaran di dalam kelas bercantum.







Bilangan murid dalam satu tahun persekolahan pula tidak melebihi 14 orang. Bilangan kelas bercantum akan ditentukan dengan membuat pertimbangan berdasarkan bilangan murid dalam setiap tahun persekolahan. Sekiranya jumlah murid dalam tiga tahun persekolahan tidak melebihi 14 orang murid, maka tiga tahun persekolahan dicantumkan dalam sebuah kelas bercantum.





Selain itu, biasanya seorang guru ditugaskan mengajar murid-murid daripada dua atau tiga tahun persekolahan secara serentak dalam sebuah kelas yang sama. Namun, kriteria percantuman kelas juga bergantung kepada bilangan tenaga pengajar yang sedia ada. Sebagai contoh, sebuah sekolah yang mempunyai 3 orang guru boleh mencantumkan murid-murid daripada tiga tahun persekolahan bagi membentuk sebuah kelas bercantum. Manakala, sebuah sekolah yang mempunyai 4 atau 5 orang guru pula boleh mencantumkan murid-murid daripada dua tahun persekolahan dalam sebuah kelas. Namun, biasanya, bilangan guru dalam sekolah yang mempunyai kelas bercantum tidak melebihi 5 orang kerana peruntukan guru adalah mengikut nisbah bilangan kelas yang terdapat disesebuah sekolah berkenaan.





Ciri seterusnya bagi kelas bercantum ialah strategi pengajaran dan pembelajarannya yang tersendiri dan berbeza daripada kelas biasa di mana, semasa guru mengajar murid-murid dalam satu tahun persekolahan, murid-murid dari tahun persekolahan yang lain akan ditinggalkan. Justeru, untuk memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan, guru yang terlibat perlu memilih dan merancang strategi pengajaran yang sesuai untuk menyelenggarakan bilik darjah. Namun demikian, keperluan murid juga diambil kira di mana, murid-murid Tahun 1 yang baru masuk sekolah dan memerlukan perhatian dan layanan perlu diutamakan oleh guru.

Demikian juga murid-murid Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan penting seperti UPSR. Oleh itu, kelas Tahun 1 dan Tahun 6 seeloknya tidak dicantumkan dan dijadikan kelas biasa. Namun demikian, kriteria ini tidak semestinya dapat dipenuhi oleh sekolah yang mengamalkan sistem kelas bercantum. Ia bergantung kepada pihak sekolah yang perlu memikirkan kriteria yang sesuai berdasarkan keutamaan dan keadaan sekolah itu sendiri





Selain itu, keadaan bangunan dan kemudahan-kemudahan sekolah yang mempunyai kelas bercantum biasanya kurang lengkap dan biasanya merupakan pondok-pondok kecil sahaja dengan hanya mempunyai dua atau tiga buah bilik darjah. Jika sekolah itu hanya mempunyai dua buah bilik darjah, maka kelas bercantumnya terdiri daripada murid-murid dari tiga tahun persekolahan. Manakala sekolah yang mempunyai tiga bilik darjah, kelas bercantumnya terdiri daripada murid-murid dari dua tahun persekolahan.





Sekolah-sekolah yang mengamalkan sistem kelas bercantum ini juga biasanya terletak di kawasan-kawasan terpencil yang bilangan penduduknya tidak ramai. Namun demikian, dalam tempoh PIPP ini, Kementerian Pelajaran Malaysia akan merapatkan jurang pendidikan dengan memberi tumpuan kepada fokus dan strategi pelaksanaan yang di antaranya ialah untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar seperti menambah baik Program Pembangunan Pendidikan Luar Bandar Sabah dan Sarawak, menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas, menyediakan bekalan elektrik 24 jam termasuk membekal genset berkapasiti 30-35 KVa ke sekolah pedalaman, merintis penggunaan solar hybrid dan merintis penggunaan empangan mini, menyediakan bekalan air ke sekolah, menambah baik Sekolah Kurang Murid, menilai pelaksanaan Sekolah Pusat bagi tujuan peluasan dan mewujudkan norma baru untuk guru di Sekolah Kurang Murid.



B. HURAIKAN PENDEKATAN DAN STRATEGI PENGAJARAN YANG BOLEH DIAPLIKASIKAN OLEH GURU DALAM KELAS BERCANTUM SEMASA PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

Pendekatan dan strategi pengajaran yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam kelas bercantum semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan pastinya berbeza dengan pendekatan dan strategi pengajaran bagi kelas biasa. Bagi memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan di dalam kelas bercantum, guru yang terlibat perlu memilih strategi pengajaran yang sesuai untuk dilaksanakan dalam bilik darjah. Di antara strategi yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam kelas bercantum semasa proses pengajaran dan pembelajaran ialah pertama, penyusunan bilik darjah iaitu melibatkan penyusunan kerusi-meja dan alatan perlu sesuai dengan jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Sebagai contoh, sebuah kelas bercantum bagi murid-murid Tahun 1 dan 2, murid-murid Tahun 1 disusun secara berkumpulan, manakala murid-murid Tahun 2 duduk secara formal. Dua papan hitam digunakan dan kedua-duanya terletak di tempat pengadang yang diletakkan ditengah-tengah kelas sebagai pembahagi kelas. Tempat duduk guru pula diletakkan di tempat yang membolehkan guru mengawasi kedua-dua tahun persekolahan itu. Selain itu, oleh kerana umur dan kebolehan murid-murid dalam kelas bercantum adalah berbeza, pelbagai cara pengajaran perlu digunakan untuk mencapai objektif pelajaran. Contohnya, pengajaran kelas, kumpulan dan perseorangan.

Strategi kedua melibatkan penyusunan jadual waktu kelas bercantum yang disusun berdasarkan peruntukan masa yang ditetapkan bagi setiap mata pelajaran. Jadual waktu pelajaran bagi setiap tahun persekolahan dalam sebuah kelas bercantum seboleh-bolehnya disusun mengukut mata pelajaran yang sama dalam waktu pelajaran yang sama. Sebagai contoh, semasa murid Tahun 1 belajar Matematik, murid-murid Tahun 2 juga harus disusun jadualnya dengan mata pelajaran yang sama.

Untuk mencapai objektif pelajaran supaya murid-murid boleh menguasai kemahiran 3M, iaitu membaca menulis dan mengira, tumpuan hendaklah diberikan kepada mata pelajaran asas iaitu Bahasa Melayu bagi Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Matematik dan juga Bahasa Inggeris. Mata pelajaran yang berlainan dalam tahun persekolahan yang berlainan juga boleh disusun dalam waktu pelajaran yang sama, sekiranya pendekatan dan kaedah pengajaran guru boleh diubahsuai mengikut aktiviti pengajaran dan pembelajaran kelas masing-masing.

Selain itu, pengurusan alat bantu mengajar adalah penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, pelbagai alat bantu mengajar perlu disediakan dan kekurangan alat bantu mengajar boleh menjejaskan pencapaian yang diharapkan. Guru juga perlu tahu menggunakan alat bantu mengajar dengan cekap kerana kegagalan guru menguruskan alat bantu mengajar dengan berkesan boleh menimbulkan masalah disiplin di kalangan murid.

Seterusnya, guru mestilah memastikan setiap murid mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan. Pengurusan murid-murid dilakukan dengan melantik ketua-ketua darjah bagi membantu guru mengawal disiplin kelas. Secara tidak langsung dapat memupuk kepimpinan di kalangan ketua-ketua darjah yang dilantik dan murid-murid yang lain juga akan belajar cara menghormati ketua. Tugas guru pula dapat dijalankan dan dilaksanakan dengan lebih lancar sebagaimana dirancang dengan bantuan ketua-ketua darjah yang dilantik.

Seterusnya, dalam mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kelas bercantum, percantuman kemahiran-kemahiran untuk diajarkan dalam waktu pelajaran yang sama perlu dititikberatkan. Untuk memudahkan penyediaan persediaan mengajar serta melancarkan perjalanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bercantum guru hendaklah memahami dan mematuhi prinsip-prinsip percantuman kemahiran iaitu kemahiran dan kandungan yang seakan-akan sama bagi tahun-tahun persekolahan yang berlainan hendaklah dicantumkan serentak dalam waktu pelajaran yang sama. Contohnya, dalam Bahasa Melayu, kemahiran yang sama seperti kemahiran lisan bagi Tahun 1 dan Tahun 2 dicantumkan dalam waktu pelajaran yang sama dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbeza seperti menamakan benda maujud atau gambar bagi Tahun 1, manakala Tahun 2, bercerita berpandukan gambar atau keadaan sebenar dengan menggunakan perkataan.

Seterusnya, kemahiran yang khusus bagi satu-satu tahun persekolahan tertentu hendaklah disusun dalam waktu tertentu untuk diajarkan kepada murid-murid yang berkenaan. Walaupun terdapat kemahiran-kemahiran yang sama atau seakan-akan sama di antara tahun-tahun persekolahan yang berlainan disusun dalam waktu pelajaran yang sama, guru boleh meluaskan lagi skop pelajarannya semasa menjalankan aktiviti pengayaan bagi murid-murid yang berada dalam tahun persekolahan tertentu.

Justeru itu, rancangan kerja untuk mencantumkan kemahiran-kemahiran yang sama atau seakan-akan sama mestilah berlandaskan prinsip-prinsip tersebut dan mengikut format-format yang dicadangkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.

Selain itu, pelbagai kaedah dan strategi mengikut tahun persekolahan perlu dirancang agar pengajaran dan pembelajaran bagi kelas bercantum dapat dilaksanakan dengan berkesan. Di antara kaedah yang boleh dilaksanakan adalah seperti kaedah kelas yang digunakan untuk menyampaikan pelajaran kepada semua murid yang berada di dalam bilik darjah pada masa yang sama. Biasanya kaedah ini digunakan apabila guru hendak menyampaikan maklumat am kepada semua murid atau guru dalam situasi belum mengetahui latar belakang murid atau semasa permulaan sesuatu pelajaran. Kaedah kelas ini sesuai digunakan untuk mengajar mata pelajaran seperti Pendidikan Jasmani, Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Moral.

Kaedah Kumpulan juga boleh digunakan dalam sebuah kelas bercantum di mana murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kebolehan murid dan guru menyampaikan pelajaran secara bergilir-gilir, kumpulan demi kumpulan. Kaedah ini sesuai digunakan untuk mengajar kemahiran asas atau menjalankan aktiviti pengayaan dengan pemulihan. Bagi pengajaran aktiviti pembelajaran lain seperti kerja projek, permainan, simulasi dan sebagainya pula, murid-murid dibahagikan mengikut kumpulan dengan pelbagai kebolehan dalam setiap kumpulan.

Selain kaedah kumpulan, kaedah individu juga kadangkala harus digunakan sebagai strategi pengajaran dan pembelajaran dalam sesebuah kelas bercantum. Kaedah ini boleh digunakan apabila semua kumpulan murid telah melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran dan guru akan mengambil kesempatan ini untuk membimbing murid yang berkenaan secara individu. Selesai memberi bimbingan, guru bolehlah mengajar kumpulan semula mengikut rancangan pengajarannya.

Strategi penggabungjalinan, penyerapan dan pemulihan juga boleh diubahsuai untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kelas bercantum. Namun, pengubahsuaian tersebut haruslah mengambilkira kesesuaian pendekatan penyampaian guru, peringkat pencapaian murid dan kebolehan sedia ada murid.

Sebagai kesimpulannya, untuk memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lancar dan berkesan, guru perlulah memilih pendekatan, strategi dan kaedah yang sesuai untuk menyelenggara sesebuah bilik darjah dan menyampaikan sesuatu pelajaran. Dengan pemilihan pendekatan dan strategi yang sesuai dan berkesan, objektif pelajaran akan tercapai dan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan sekaligus matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang ingin menjadikan pendidikan di Negara kita bertaraf dunia akan tercapai.


BIBLIOGRAFI

 Internet, moe_pipp_07: Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia 2006-2010.

 Modul 2 Ilmu Pendidikan : Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, November 2000

 Mok Soon Sang. (1997). Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3. Subang Jaya, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

 Mok Soon Sang. (1997). Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 2. Subang Jaya, Selangor : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.